top of page

Persiapan Seorang Aktor kembali ke pentas

  • Nov 5, 2025
  • 2 min read
Dari kiri Aloy, Syahrul, Fazleena, Nam Ron dan Juan Ab Aziz pada sidang media mengumumkan pementasan semula teater Persiapan Seorang Aktor di ibu negara, baru-baru ini. Foto NSTP Saifullizan Tamadi
Dari kiri Aloy, Syahrul, Fazleena, Nam Ron dan Juan Ab Aziz pada sidang media mengumumkan pementasan semula teater Persiapan Seorang Aktor di ibu negara, baru-baru ini. Foto NSTP Saifullizan Tamadi

KUALA LUMPUR: Selepas mendapat maklum balas memberangsangkan, malah, diiktiraf naskhah The Best Of 2024 dan menerima trofi Skrip Asal Terbaik pada Anugerah Seni BOH Cameronian Ke-20, tahun lalu, teater Persiapan Seorang Aktor kembali dipentaskan.


Mengambil ruang lebih besar, penerbit, Mask Team bakal mementaskan karya arahan Syahrul Musa dan skrip dihasilkan Saat Omar ini di Nero Event Space, Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) di pusat beli-belah 1Utama, Bandar Utama, selama selama empat hari mulai 17 Julai ini.


Teater Persiapan Seorang Aktor yang berkisar kehidupan pelakon teater, Sadiq Saufi lakonan Aloy Paradoks dan isterinya, Nina (Fazleena Hishamuddin) diakui sebagai karya yang wajar dipentaskan susulan kejayaan lalu.


Syahrul berkata, dia bersama kumpulan kreatif Mask Team membawa karya ini dalam versi yang lebih matang agar naskhah itu terus memberi kesan yang mendalam kepada penonton dan pencinta teater tanah air.


"Teater ini sudah pun dipentaskan tahun lalu dan sekarang, kita bawa semula.


"Tahun lalu, kami pentaskan di ruang yang kecil di Shah Alam. Kita juga pentaskan naskhah ini di Universati Malaysia Sarawak (UNIMAS), Kuching. Ini kali ketiga karya ini dipentaskan secara komersial," katanya pada sidang media mengumumkan pementasan semula teater Persiapan Seorang Aktor di ibu negara, baru-baru ini.


Syahrul berkata, kejayaan dicapai Persiapan Seorang Aktor pada Anugerah Seni BOH Cameronian Ke-20 mendorong mereka mementaskan semula naskhah itu.


"Persiapan Seorang Aktor diangkat sebagai The Best Of 2024 bersama Randai MacBeth dan Spice, Magic and Mystique. Ini adalah satu kejayaan yang memangkin semangat kami untuk mementaskan karya ini kembali," katanya.


Syahrul berkata, pementasan kali ini diharap dapat menarik lebih ramai penonton dengan kelainan yang bakal dipertontonkan termasuk pelakon baharu.


"Dengan skala premis acara besar, persembahan akan disuntik elemen baharu dan pelakon ditambah.


"Kita ada Nam Ron yang akan membawa watak pengarah. Jika sebelum ini, saya bawa watak itu sebab ketika itu, kami tiada modal.


"Bagi pementasan kali ini, pelakon baharu, Aizat Saha juga akan turut serta," katanya ketika ditemui di sidang media teater Persiapan Seorang Aktor di sini, baru-baru ini.


Syahrul berkata, Persiapan Seorang Aktor menyelami perjalanan seorang pelakon dalam mencari makna dan kejujuran di sebalik setiap watak yang dibawa.


Persiapan Seorang Aktor menyelongkar kisah pelakon lelaki yang obses untuk mencapai kesempurnaan dalam lakonan, bukan sahaja sebagai pelakon terbaik di Malaysia, malah, melangkaui kehebatan legenda seni pentas dunia.


Kisah ini membawa penonton menelusuri perjuangan mental, emosi, dan spiritual dalam dunia seni yang penuh pengorbanan, tekanan dan cinta terhadap panggilan seni.


Teater Persiapan Seorang Aktor juga dikatakan bukan sahaja meraikan keindahan lakonan dan naratif teater, malah, memberi penghormatan kepada dedikasi anak seni yang menjadikan pentas sebagai rumah dan kehidupan mereka.


Syahrul berbesar hati pementasan kali ini mendapat suntikan tenaga kreatif melalui kerjasama strategik bersama Fakulti Filem Teater dan Animasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM).


Dengan pembabitan produksi kreatif dan perkongsian idea, pengalaman artistik projek ini dapat diperkukuhkan.


Selain pementasan utama, program tambahan iaitu 'Casting Call' turut dirancang sepanjang tempoh pementasan di PJPAC.


Program itu adalah usaha sama antara Mask Team dan syarikat produksi tempatan bertujuan mencungkil bakat baharu dalam bidang lakonan.


Selain itu, ia membuka peluang kepada individu yang bercita-cita terjun ke dunia seni secara profesional.


Source:

 
 
 

Comments


Commenting on this post isn't available anymore. Contact the site owner for more info.

MASKTEAM | (002037001-H)

F-3-3,

Boulevard Business Park @ Jalan Kuching, Off Jalan Kuching, 51200 Kuala Lumpur.

hr.maskteam@gmail.com | hr.info@maskteam.com.my | Tel: 603-6179 3997

PR DEPARTMENT

ANISSA (+6011-3756 1969) | SYUHAIQAL (+6011-2340 2852)

  • White Instagram Icon
  • TikTok
  • White YouTube Icon
© maskteam

©  2025 MASK TEAM. ALL RIGHTS RESERVED.

bottom of page