Arfie Shah terima tawaran drama bersiri Taiwan
- Nov 6, 2025
- 1 min read

KUALA LUMPUR: Pelakon, Arfie Shah, 28, bakal melebarkan sayap ke luar negara selepas menerima tawaran membintangi sebuah drama bersiri terbitan syarikat produksi Taiwan.
Arfie atau nama sebenarnya, Adwafri Shaharuddin, berkata walaupun bukan watak utama, peluang itu cukup bermakna dan dianggap batu loncatan dalam kerjaya seninya.
"Kalau sebelum ini saya terbabit dengan drama produksi Singapura, kini Taiwan pula beri saya ruang.
Saya percaya rezeki Allah itu luas, asalkan kita berusaha dan berdisiplin.
"Saya anggap tawaran ini sebagai rezeki besar.
Walaupun hanya watak sampingan, hakikatnya peluang berlakon di produksi luar negara sangat bermakna kerana mereka percaya dengan bakat saya walaupun saya orang luar," katanya.
Arfie dijangka berangkat ke Taiwan awal Oktober depan untuk menjalani penggambaran drama berkenaan.
Katanya, pengalaman itu bukan sekadar pencapaian peribadi, malah membuka ruang buat pelakon Malaysia dikenali di pentas antarabangsa.
"Saya jadikan pengalaman ini sebagai pelajaran kerana budaya kerja mereka berbeza. Dari situ, kita dapat tambah ilmu dan meningkatkan kualiti lakonan," ujarnya.
Mengenai bagaimana bakatnya dikesan, Arfie percaya pihak produksi Taiwan mungkin melihat persembahannya dalam drama X-Change yang pernah ditayangkan di sebuah platform penstriman digital.
"Pihak produksi menghubungi pengurusan saya dan meminta saya mengosongkan jadual kerana mereka mahu saya terbabit dalam projek ini.
Saya bersyukur usaha dan pengorbanan selama ini mula menampakkan hasil," katanya.
Pelakon filem Impak Maksima 2 itu tidak menafikan pernah melalui fasa sukar dalam kerjaya sebelum ini.
"Ada masa kerja kurang, ada masa hampir putus asa.
Tetapi saya percaya setiap orang ada masa masing-masing. Alhamdulillah, sekarang saya nampak sedikit demi sedikit pintu rezeki mula terbuka," katanya.
Source:




Comments